Rabu, 14 Januari 2015

Pengalaman Menaiki Kereta Api ke Hua Hin, Thailand.

  Pada cuti sekolah hujung tahun 2014, saya sekeluarga dan enam orang saudara mara telah berpeluang berkunjung ke Thailand iaitu ke Hua Hin dan Bangkok. Pada kali ini, kami memilih untuk menaiki kereta api untuk menuju ke destinasi.Biasanya kami menaiki kapal terbang pada kunjungan yang lalu. Kali ini nak merasai suasana menaiki kereta api pula. Kami memulakan perjalanan  di Kajang, Selangor. Pada  malam 23 haribulan Disember, kami menaiki komuter ke stesen kereta api di KL Sentral. Di sana kami menaiki kereta api Senandung Langkawi pada pukul 10 malam untuk menuju ke Butterworth. Semasa membuat tempahan tiket sebulan lebih awal, tiket untuk tempat tidur telah kehabisan. Nak tak nak, kami terpaksa membeli tiket biasa untuk ke Butterworth. Malam tu kami terpaksa tidur-tidur ayam di atas kerusi kereta api.
           Lebih kurang pukul 6.30 pagi, 24November,  kami telah sampai ke Butterworth. Untuk ke Hua Hin kami terpaksa menunggu sehingga pukul 2.00 petang sebelum menaiki kereta api seterusnya. Nasib baik kawasan stesen kereta api Butterworth yang baharu membolehkan kami berehat dan membersihkan diri di bilik  tandas stesen tersebut. Sementara menunggu masa untuk menaiki kereta api seterusnya, kami sempat meronda-ronda di sekitar kawasan Butterworth dan menikmati nasi kandar di sebuah restoran.
            Pukul 1.45 petang, kami menaiki keretapi yang akan membawa kami ke Thailand. Jam 2 petang kereta api meninggalkan Butterworth dan tiba di Padang Besar pada jam 5 petang. Setelah selesai urusan pemeriksaan pasport kami menaiki kereta api semula untuk menikmati hidangan makan malam yang telah ditempah sebelum sampai ke Padang Besar. Selepas 2 jam berhenti di Padang Besar kereta api itu bergerak memasuki Thailand. Sampai di Hadyai, kerusi tempat duduk tadi telah diubahsuai menjadi katil untuk tidur. Kami mengambil peluang ini untuk berehat dan melelapkan mata memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth tidak dapat tidur. Susah juga untuk melelapkan mata dalam keadaan kereta api yang bergerak itu. Saya berasa seolah-olah dilambung-lambung dan ditolak ke kiri ke kanan semasa berada dalam ruangan tidur yang sempit itu.
             Walau bagaimanapun akhirnya kami selamat sampai ke destinasi pertama iaitu Hua Hin pada keesokan harinya kira-kira pukul 6.30 pagi.

                                          Berada dalam komuter dari Kajang ke KL Sentral

                                            Menikmati hidangan tomyam dan nasi dalam kereta
                                            api di Padang Besar

                                           Bergambar bersama dengan kereta api di Padang Besar

                                              Berada di stesen kereta api Hua Hin