Jumaat, 18 April 2014

Perkhemahan Badan Beruniform di Pusat Kokurikulum Negeri Selangor (2)

Selepas kali terakhir mendaki bukit iaitu Bukit Panorama di Sungai Lembing, Pahang, tiada lagi aktiviti pendakian yang saya lakukan. Sebelum ini saya pernah mendaki bukit di Tanjung Tuan, Port Dickson (semasa BIG ), dan  Bukit Broga di Semenyih (bersama anak2). Semasa Perkhemahan Badan Beruiform yang diadakan di Kem Tekali (14-18 April 2014) sekali lagi saya mencabar diri untuk mendaki bukit bersama-sama dengan ahli perkhemahan dari seluruh negara.
           Pada sebelah pagi kira-kira pukul lapan, kami beberapa orang jurulatih yang kebanyakannya dari daerah Hulu Langat telah bersedia untuk membawa peserta perkhemahan untuk mendaki bukit di kem tersebut. Selepas diberikan taklimat ringkas oleh ketua jurulatih, kami memulakan pendakian. Walaupun tidak curam sangat, tetapi tercungap-cungap juga saya dibuatnya untuk berjalan seiring dengan para peserta yang berumur 11-12 tahun. Mahu sahaja berpatah balik untuk kembali ke kaki bukit tempat permulaan tadi. Namun dengan azam dan tekad untuk memberikan contoh kepada para peserta, saya gagahi juga untuk meruskan pendakian itu. Setelah mendapat momentum dan jantung telah dapat menyesuaikan diri dengan pendakian ini, saya berasa lebih yakin untuk meneruskan pendakian.
           Menyusuri laluan rentas yang telah dibuat oleh pendaki terdahulu memang agak mencabar kerana pada petang semalam hujan turun dengan lebat menyebabkan laluan licin dan basah. Terdapat laluan yang agak curam memerlukan para peserta mendaki dengan bantuan tali yang telah sedia terikat di situ. Selepas pendakian selama sejam akhirnya kami sampai di suatu kawasan lapang yang dinamakan Dataran Senduduk. Di sini kami berehat sebentar untuk melepaskan penat lelah dan meneguk air yang dibawa. Selepas berehat selama 10 minit, kami meneruskan perjalanan. Perjalanan  seterusnya agak curam juga dengan para peserta terpaksa menuruni bukit dengan bantuan tali. Dengan tebing yang curam dan licin melambatkan perjalanan kami. Peserta terpaksa menuruni tebing dengan berhati-hati dengan bantuan jurulatih agar tidak timbul sebarang masalah yang tidak diingini.
            Akhirnya, semua peserta selamat sampai di kaki bukit pada masa yang ditetapkan.

            Untuk sesi yang kedua dan ketiga jurulatih menggunakan laluan yang lebih mudah berbanding dengan laluan yang pertama tadi. Laluan kedua ini lebih landai. Pada laluan ini, para peserta terpaksa melalui cabaran seperti melepasi pokok tumbang. Ada tempat yang terpaksa memanjat pokok tumbang dan ada tempat yang terpaksa menyusuri bawah pokok tumbang. Selain itu laluan ini juga memerlukan para peserta menghadapi cabaran halangan buatan manusia seperti memanjat dinding, meniti bongkah, meniti palang dan merangkak di bawah kawat berduri.
           Tidak sampai sejam, para peserta telah berjaya menamatkan perjalanan.

Menyusuri hutan memulakan pendakian

Menuruni bukit dengan menggunakan tali

Para jurulatih sedang menuruni tebing yang curam

Meniti bongkah 

Merangkak di bawah kawat berduri

Para peserta selamat sampai di kaki bukit

           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan