Rabu, 16 April 2014

Perkhemahan Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan (1)

Pengalaman sebagai jurulatih semasa Perkhemahan Badan Beruniform peringkat kebangsaan (14-18 April 2014) yang diadakan di Kem Tekali, Pusat Kokurikulum Negeri Selangor banyak memberi pengalaman dan pendedahan yang baru bagi saya. Pada hari kedua perkhemahan iaitu pada 15 April, saya bertugas di stesen Pertandingan Ikthiar Hidup. Di sini peserta dari 13 buah negeri dan 3 buah Wilayah Persekutuan akan bertanding memasak nasi dan ayam di dalam buluh. Selain itu mereka juga bertanding membuat jerat bidas.
          Setiap negeri akan menghantar 5 orang peserta untuk pertandingan memasak dan 2 orang untuk pertandingan memasang jerat. Mereka telah dibekalkan dengan bahan-bahan untuk dimasak iaitu beras, ayam, bawang, cili, serai, kiub tomyam, lobak merah dan garam. Selain itu, mereka juga diberikan seberkas kayu api, sekotak mancis, dua ruas buluh dan dua bekas untuk meletak makanan yang telah dimasak nanti.
         Apabila pertandingan di mulakan pelbagai ragam peserta dapat dilihat. Bermula dari menghidupkan api sehinggalah aktiviti memasak nasi  dan ayam. Ada yang sudah menghabiskan sekotak mancis tetapi api masih belum dapat dinyalakan. Di sinilah dapat dilihat sikap kerjasama antara ahli pasukan dan kemahiran menghidupkan api dengan menggunakan kayu api. Saya dapat perhatikan yang peserta dari Sarawak, Sabah dan Pahang berjaya menghidupkan api dengan cekap. Kecekapan menjaga api serta menjaga buluh semasa memasak juga amat penting supaya nasi dan ayam yang dimasak itu akan masak dengan rata.
        Peserta telah diberikan masa 2 jam untuk menyiapkan masakan mereka. Peserta dari Sabah merupakan peserta yang paling awal dapat menyiapkan masakan mereka iaitu dengan masa masih lagi berbaki setengah jam. Setelah tamat masa yang diperuntukkan masih terdapat peserta yang nasi mereka masih mentah dan ayam masih belum masak.
       Untuk memasang jerat pula, peserta telah dibekalkan dengan batang khemah, tali, beberapa batang kayu dan sebatang besi berbentuk U. Mereka dikehendaki memasang jerat bidas.

Para peserta sedang menghidupkan api sebelum memasak



Dua orang peserta sedang memasang jerat bidas


Hasil masakan para peserta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan