Jumaat, 27 Februari 2015

Lawatan ke Tiger Temple, Kanchanaburi,Thailand

Sempena lawatan ke Bangkok, Thailand pada tahun 2014, saya telah berpeluang melawat ke Tiger Temple di Kanchanaburi. Jarak antara Bangkok dengan Tiger Temple lebih kurang 170km. Kami telah menyewa sebuah sebuah van pelancongan untuk ke sana. Sewanya 3500Baht untuk perjalanan pergi dan balik. Masa perjalanan ke sana pada hari itu mengambil masa yang agak panjang kerana kesesakan lalu lintas. Menurut Mr Samart (pemandu van), kalau jalan tidak sesak masa perjalanan cuma 3 jam sahaja. Namun perjalanan kami pada hari itu mengambil masa lebih daripada empat jam.
           Sesampai sahaja di sana, kami bergegas untuk membeli tiket  kerana kesuntukan masa. Masa  lawatan akan tamat pada pukul 3.00 petang. Harga tiket masuk ialah 600Baht  seorang. Untuk masuk ke kawasan kuil, pelancong mesti mematuhi etika pakaian. Pelancong tidak dibenarkan memakai pakaian yang berwarna merah atau merah jambu. Oleh sebab ada yang berpakaian merah pada hari tu, maka terpaksa membeli baju yang berwarna lain di luar kawasan kuil itu. Selain itu, kaum wanita juga dilarang berpakaian mencolok mata. Berskirt pendek dan berseluar pendek dilarang masuk. Nasib baik di luar kuil itu ada menjual seluar.
           Semasa berada di kawasan kuil Buddha itu, kami berpeluang mengambil gambar bersama dengan harimau. Banyak gambar yang sempat kami abadikan sebagai kenangan semasa di kuil tersebut.





Selasa, 24 Februari 2015

Aku Sebuah Kerusi

              Hari ini merupakan hari terakhir aku dapat tinggal bersama dengan tuanku. Sudah lebih daripada 13 tahun aku berkhidmat dengan tuan aku. Sebagai sebuah kerusi plastik, aku rasa sudah begitu lama aku dapat berkhidmat kepada keluarga tuan aku.Tuan aku, isteri dan anak-anak tuan aku pernah menggunakan aku sebagai tempat duduk dan tempat berdiri. Aku digunakan semasa mereka mengulang kaji pelajaran, menghadap komputer, menonton televisyen, makan dan lain-lain. Bukan setakat itu sahaja khidmat aku kepada tuanku, kadang-kadang  tuan aku akan memanjat ke atas badan aku untuk membersihkan kipas, siling atau di atas almari.
              Dua hari sebelum menjelang Tahun Baharu Cina, nasib malang menimpa aku dan tuanku. Semasa tuanku memanjat aku untuk membersihkan bahagian atas almari pakaian, kaki tuan aku telah terjerlus ke bawah kerana aku tidak dapat menampung berat badan tuanku. Lagipun aku telah reput kerana telah lama digunakan.
             Ekoran daripada kejadian itu, beberapa bahagian badan tuanku luka. Nasib baik tiada luka yang dalam, cuma calar di kaki dan belakang badan sahaja.
          Pada petang itu juga, aku telah dibuang ke tempat pembuangan sampah. Walaupun nasib aku sebegini, namun aku aku tetap bersyukur kerana aku telah dapat berkhidmat kepada keluarga tuanku untuk sekian lama.
  Biarlah gambar-gambar di bawah menceritakan tentang aku dan keadaan tuanku pada hari terakhir aku bersamanya.







Jalan-jalan Cari Makan di Ipoh

Ahad (22 Februari 2015)
              Sempena cuti sekolah Tahun Baharu Cina pada tahun ini, saya sekeluarga (isteri, anak perempuan, mak mentua dan adik ipar) telah berpeluang ke Ipoh untuk jalan-jalan cari makan. Bertolak dari Taman  Seri Gombak lebih kurang pukul 4.00 petang. Perjalanan lancar tanpa sebarang kesesakan lalu lintas. Kelihatan kesesakan berlaku dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang akan memulakan tugas pada keesokan hari selepas menghabiskan cuti sempena Tahun Baharu Cina di kampung halaman.
          Pukul 7.00 malam sampai di rumah inap desa  di Taman Lapangan Permai yang telah ditempah lebih awal. Malam tu keluar makan di bandar Ipoh. Makan kuetiau masak Hokkien di Restoran Tuck Kee. Ramainya orang malam ni, nak makan pun kena tunggu meja. Tunggu lebih kurang setengah jam baru dapat meja. Selepas tempah  tiga jenis mi, kena tunggu lagi. Selepas satu jam menunggu akhirnya hidangan yang dipesan sampai.




Isnin (23 Februari 2015)

       Pada hari kedua, misi mencari makan diteruskan. Pagi ni anak nak makan dimsum. sampai di Restoran Foh San kelihatan begitu ramai orang. Kena tunggu meja lagi. Nasib baik tak perlu tunggu lama sangat. Restoran terkenal memang macam ni , nak makan kena tunggu meja. tengok meja mana-mana yang dah selesai dia orang makan, berdirilah kat tepi meja tu. Apabila orang tu bangun, kita orang pula ambil alih. Semasa kami makan pun macam tu jugak. Tak sempat kami makan habis dah ada orang berdiri di tepi  meja untuk duduk  di situ.


       Lepas tu pergi beli tart telur dan minum kopi di Restoran Nam Heong. Kena beratur lagi nak beli tart. Nak duduk makan kena tunggu meja lagi. Selepas beratur lebih kurang setengah jam akhirnya lima biji tart telur berjaya dibeli.

            Malam, sekali lagi pergi makan di restoran Tuck Kee.


Selasa (24 Februari 2015)
        Selepas keluar dari inap desa yang kami sewa, kami pergi makan mi sup dan asam laksa yang ditambah dengan bebola ikan, bebola daging.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami sempat melawat Tokong Kuan Yin terletak di dalam gua di Ipoh.








Rabu, 14 Januari 2015

Pengalaman Menaiki Kereta Api ke Hua Hin, Thailand.

  Pada cuti sekolah hujung tahun 2014, saya sekeluarga dan enam orang saudara mara telah berpeluang berkunjung ke Thailand iaitu ke Hua Hin dan Bangkok. Pada kali ini, kami memilih untuk menaiki kereta api untuk menuju ke destinasi.Biasanya kami menaiki kapal terbang pada kunjungan yang lalu. Kali ini nak merasai suasana menaiki kereta api pula. Kami memulakan perjalanan  di Kajang, Selangor. Pada  malam 23 haribulan Disember, kami menaiki komuter ke stesen kereta api di KL Sentral. Di sana kami menaiki kereta api Senandung Langkawi pada pukul 10 malam untuk menuju ke Butterworth. Semasa membuat tempahan tiket sebulan lebih awal, tiket untuk tempat tidur telah kehabisan. Nak tak nak, kami terpaksa membeli tiket biasa untuk ke Butterworth. Malam tu kami terpaksa tidur-tidur ayam di atas kerusi kereta api.
           Lebih kurang pukul 6.30 pagi, 24November,  kami telah sampai ke Butterworth. Untuk ke Hua Hin kami terpaksa menunggu sehingga pukul 2.00 petang sebelum menaiki kereta api seterusnya. Nasib baik kawasan stesen kereta api Butterworth yang baharu membolehkan kami berehat dan membersihkan diri di bilik  tandas stesen tersebut. Sementara menunggu masa untuk menaiki kereta api seterusnya, kami sempat meronda-ronda di sekitar kawasan Butterworth dan menikmati nasi kandar di sebuah restoran.
            Pukul 1.45 petang, kami menaiki keretapi yang akan membawa kami ke Thailand. Jam 2 petang kereta api meninggalkan Butterworth dan tiba di Padang Besar pada jam 5 petang. Setelah selesai urusan pemeriksaan pasport kami menaiki kereta api semula untuk menikmati hidangan makan malam yang telah ditempah sebelum sampai ke Padang Besar. Selepas 2 jam berhenti di Padang Besar kereta api itu bergerak memasuki Thailand. Sampai di Hadyai, kerusi tempat duduk tadi telah diubahsuai menjadi katil untuk tidur. Kami mengambil peluang ini untuk berehat dan melelapkan mata memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth tidak dapat tidur. Susah juga untuk melelapkan mata dalam keadaan kereta api yang bergerak itu. Saya berasa seolah-olah dilambung-lambung dan ditolak ke kiri ke kanan semasa berada dalam ruangan tidur yang sempit itu.
             Walau bagaimanapun akhirnya kami selamat sampai ke destinasi pertama iaitu Hua Hin pada keesokan harinya kira-kira pukul 6.30 pagi.

                                          Berada dalam komuter dari Kajang ke KL Sentral

                                            Menikmati hidangan tomyam dan nasi dalam kereta
                                            api di Padang Besar

                                           Bergambar bersama dengan kereta api di Padang Besar

                                              Berada di stesen kereta api Hua Hin

Jumaat, 18 April 2014

Perkhemahan Badan Beruniform di Pusat Kokurikulum Negeri Selangor (2)

Selepas kali terakhir mendaki bukit iaitu Bukit Panorama di Sungai Lembing, Pahang, tiada lagi aktiviti pendakian yang saya lakukan. Sebelum ini saya pernah mendaki bukit di Tanjung Tuan, Port Dickson (semasa BIG ), dan  Bukit Broga di Semenyih (bersama anak2). Semasa Perkhemahan Badan Beruiform yang diadakan di Kem Tekali (14-18 April 2014) sekali lagi saya mencabar diri untuk mendaki bukit bersama-sama dengan ahli perkhemahan dari seluruh negara.
           Pada sebelah pagi kira-kira pukul lapan, kami beberapa orang jurulatih yang kebanyakannya dari daerah Hulu Langat telah bersedia untuk membawa peserta perkhemahan untuk mendaki bukit di kem tersebut. Selepas diberikan taklimat ringkas oleh ketua jurulatih, kami memulakan pendakian. Walaupun tidak curam sangat, tetapi tercungap-cungap juga saya dibuatnya untuk berjalan seiring dengan para peserta yang berumur 11-12 tahun. Mahu sahaja berpatah balik untuk kembali ke kaki bukit tempat permulaan tadi. Namun dengan azam dan tekad untuk memberikan contoh kepada para peserta, saya gagahi juga untuk meruskan pendakian itu. Setelah mendapat momentum dan jantung telah dapat menyesuaikan diri dengan pendakian ini, saya berasa lebih yakin untuk meneruskan pendakian.
           Menyusuri laluan rentas yang telah dibuat oleh pendaki terdahulu memang agak mencabar kerana pada petang semalam hujan turun dengan lebat menyebabkan laluan licin dan basah. Terdapat laluan yang agak curam memerlukan para peserta mendaki dengan bantuan tali yang telah sedia terikat di situ. Selepas pendakian selama sejam akhirnya kami sampai di suatu kawasan lapang yang dinamakan Dataran Senduduk. Di sini kami berehat sebentar untuk melepaskan penat lelah dan meneguk air yang dibawa. Selepas berehat selama 10 minit, kami meneruskan perjalanan. Perjalanan  seterusnya agak curam juga dengan para peserta terpaksa menuruni bukit dengan bantuan tali. Dengan tebing yang curam dan licin melambatkan perjalanan kami. Peserta terpaksa menuruni tebing dengan berhati-hati dengan bantuan jurulatih agar tidak timbul sebarang masalah yang tidak diingini.
            Akhirnya, semua peserta selamat sampai di kaki bukit pada masa yang ditetapkan.

            Untuk sesi yang kedua dan ketiga jurulatih menggunakan laluan yang lebih mudah berbanding dengan laluan yang pertama tadi. Laluan kedua ini lebih landai. Pada laluan ini, para peserta terpaksa melalui cabaran seperti melepasi pokok tumbang. Ada tempat yang terpaksa memanjat pokok tumbang dan ada tempat yang terpaksa menyusuri bawah pokok tumbang. Selain itu laluan ini juga memerlukan para peserta menghadapi cabaran halangan buatan manusia seperti memanjat dinding, meniti bongkah, meniti palang dan merangkak di bawah kawat berduri.
           Tidak sampai sejam, para peserta telah berjaya menamatkan perjalanan.

Menyusuri hutan memulakan pendakian

Menuruni bukit dengan menggunakan tali

Para jurulatih sedang menuruni tebing yang curam

Meniti bongkah 

Merangkak di bawah kawat berduri

Para peserta selamat sampai di kaki bukit

           

Rabu, 16 April 2014

Perkhemahan Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan (1)

Pengalaman sebagai jurulatih semasa Perkhemahan Badan Beruniform peringkat kebangsaan (14-18 April 2014) yang diadakan di Kem Tekali, Pusat Kokurikulum Negeri Selangor banyak memberi pengalaman dan pendedahan yang baru bagi saya. Pada hari kedua perkhemahan iaitu pada 15 April, saya bertugas di stesen Pertandingan Ikthiar Hidup. Di sini peserta dari 13 buah negeri dan 3 buah Wilayah Persekutuan akan bertanding memasak nasi dan ayam di dalam buluh. Selain itu mereka juga bertanding membuat jerat bidas.
          Setiap negeri akan menghantar 5 orang peserta untuk pertandingan memasak dan 2 orang untuk pertandingan memasang jerat. Mereka telah dibekalkan dengan bahan-bahan untuk dimasak iaitu beras, ayam, bawang, cili, serai, kiub tomyam, lobak merah dan garam. Selain itu, mereka juga diberikan seberkas kayu api, sekotak mancis, dua ruas buluh dan dua bekas untuk meletak makanan yang telah dimasak nanti.
         Apabila pertandingan di mulakan pelbagai ragam peserta dapat dilihat. Bermula dari menghidupkan api sehinggalah aktiviti memasak nasi  dan ayam. Ada yang sudah menghabiskan sekotak mancis tetapi api masih belum dapat dinyalakan. Di sinilah dapat dilihat sikap kerjasama antara ahli pasukan dan kemahiran menghidupkan api dengan menggunakan kayu api. Saya dapat perhatikan yang peserta dari Sarawak, Sabah dan Pahang berjaya menghidupkan api dengan cekap. Kecekapan menjaga api serta menjaga buluh semasa memasak juga amat penting supaya nasi dan ayam yang dimasak itu akan masak dengan rata.
        Peserta telah diberikan masa 2 jam untuk menyiapkan masakan mereka. Peserta dari Sabah merupakan peserta yang paling awal dapat menyiapkan masakan mereka iaitu dengan masa masih lagi berbaki setengah jam. Setelah tamat masa yang diperuntukkan masih terdapat peserta yang nasi mereka masih mentah dan ayam masih belum masak.
       Untuk memasang jerat pula, peserta telah dibekalkan dengan batang khemah, tali, beberapa batang kayu dan sebatang besi berbentuk U. Mereka dikehendaki memasang jerat bidas.

Para peserta sedang menghidupkan api sebelum memasak



Dua orang peserta sedang memasang jerat bidas


Hasil masakan para peserta.

Khamis, 2 Januari 2014

Selamat Tahun Baru 2014

Selamat Tahun Baru 2014

Menjelang tahun baru 2014, saya, isteri bersama adik ipar dan dua orang anaknya pergi ke Wat Jayanthi untuk menyambut kedatangan tahun baru. Seperti biasa, aktiviti yang diadakan pada malam tersebut ialah cabutan bertuah, persembahan nyanyian dan tarian oleh kanak-kanak dan para hadirin. Meriah jugalah suasana pada malam tu. Lima belas minit sebelum detik 12.oo malam, kami berkumpul di dalam bhot untuk upacara suatmhon menyambut kedatangan tahun 2014. 

Semoga tahun 2014 membawa kebahagian, 

keberkatan, kekayaan,  kemakmuran, kebaikan, 

ketenangan, kecantikan, kekacakan,kesihatan 

dan kehidupan yang lebih sempurna buat semua.